Pernah diberitahu anda mempunyai adenomyosis dan mula risau peluang untuk hamil semakin rendah?

Ramai wanita hanya mengetahui mereka mempunyai adenomyosis selepas mengalami simptom seperti sakit haid yang teruk, haid berlebihan, sakit pelvis berpanjangan, atau kesukaran untuk mendapatkan zuriat.

Walaupun adenomyosis boleh menjejaskan kesuburan, ia tidak bermaksud peluang untuk hamil sudah tiada. Dengan rawatan dan strategi yang sesuai, IVF masih boleh membantu meningkatkan peluang kehamilan bagi sesetengah pesakit.

Apa Itu Adenomyosis?

Adenomyosis ialah keadaan di mana tisu lapisan rahim (endometrium) tumbuh ke dalam otot rahim.

Keadaan ini boleh menyebabkan:

  • Sakit haid yang teruk
  • Pendarahan haid yang banyak
  • Sakit pelvis kronik
  • Perut terasa kembung atau berat
  • Kesukaran untuk hamil

Sesetengah wanita mungkin tidak mempunyai simptom yang jelas dan hanya mengetahuinya ketika menjalani pemeriksaan kesuburan.

Kenapa Adenomyosis Boleh Menyebabkan Sukar Hamil?

Adenomyosis adalah keadaan benigna tetapi progresif. Ia berlaku apabila lapisan endometrium menyerang otot rahim, menyebabkan:

  1. Keradangan Dalam Rahim: Keradangan kronik boleh menjadikan persekitaran rahim kurang sesuai untuk implantasi embrio.
  2. Pergerakan Rahim Tidak Normal (Disrupted Junctional Zone): Adenomyosis boleh menjejaskan lapisan penting rahim yang dikenali sebagai junctional zone. Lapisan ini membantu pergerakan rahim semasa proses implantasi embrio. Apabila fungsi kawasan ini terganggu, kontraksi rahim boleh menjadi terlalu kuat atau tidak normal, sekali gus menyukarkan embrio untuk melekat dengan baik pada rahim.
  3. Lapisan Rahim Kurang Reseptif: Lapisan dinding rahim (endometrium) menjadi kurang reseptif terhadap embrio.
  4. Aliran Darah Tidak Normal: Aliran darah ke rahim boleh terjejas dan mempengaruhi perkembangan embrio.

 

Pesakit Adenomyosis Masih Boleh Hamil Ke?

Ya. Ramai wanita dengan adenomyosis masih berjaya hamil sama ada secara semula jadi atau melalui rawatan kesuburan seperti IVF.

Namun begitu, peluang kehamilan bergantung kepada beberapa faktor seperti:

  • Umur
  • Tahap adenomyosis
  • Rizab ovari
  • Kualiti sperma
  • Tempoh mencuba untuk hamil
  • Masalah kesuburan lain yang berkaitan

Bila Pesakit Adenomyosis Perlu Pertimbangkan IVF?

Rawatan IVF mungkin dipertimbangkan jika:

  • Sudah lama mencuba hamil tanpa berjaya
  • Faktor usia mempengaruhi kesuburan
  • Terdapat masalah kesuburan lain seperti AMH rendah atau faktor sperma
  • Pernah mengalami keguguran berulang
  • Rawatan lain tidak berjaya

Pakar kesuburan akan melakukan penilaian menyeluruh sebelum menentukan sama ada IVF sesuai untuk anda.

 

Strategi Terkini untuk Meningkatkan Kejayaan IVF

Walaupun adenomyosis memberikan cabaran, bukan mustahil untuk berjaya. Berikut adalah strategi terkini yang disarankan oleh pakar:

1. Rawatan Hormonal Sebelum IVF

Sesetengah pesakit mungkin memerlukan rawatan hormon terlebih dahulu untuk membantu mengurangkan keradangan dan “merehatkan” rahim sebelum kitaran IVF bermula.

Rawatan ini biasanya dilakukan selama beberapa bulan bergantung kepada keadaan individu.

2. Frozen Embryo Transfer (FET)

Dalam sesetengah kes, doktor mungkin mencadangkan embrio dibekukan terlebih dahulu sebelum pemindahan dilakukan.

Pendekatan ini memberi masa kepada rahim untuk berada dalam keadaan yang lebih sesuai sebelum embrio dipindahkan.

3. Rawatan Tambahan

Bergantung kepada keadaan adenomyosis, sesetengah pesakit mungkin memerlukan:

  • Rawatan hormon tambahan
  • Rawatan non-invasive seperti HIFU
  • Pembedahan untuk kes tertentu

Penilaian menyeluruh diperlukan sebelum menentukan rawatan yang sesuai.

Apa Yang Biasanya Berlaku Sebelum IVF?

Jika anda mempunyai adenomyosis dan sedang merancang rawatan IVF, doktor mungkin mencadangkan:

  1. Pemeriksaan kesuburan lengkap
  2. Ultrasound pelvis
  3. Ujian AMH untuk menilai rizab ovari
  4. Rawatan awal sebelum IVF jika diperlukan
  5. Pemantauan keadaan rahim sebelum pemindahan embrio

 

Soalan Lazim (FAQ)

  1. Saya ada adenomyosis, adakah saya masih boleh hamil?
    Ya. Walaupun adenomyosis boleh menjejaskan kesuburan, ramai wanita masih berjaya hamil secara semula jadi atau melalui IVF.
  1. Adakah semua pesakit adenomyosis perlu IVF?
    Tidak semestinya. Rawatan bergantung kepada umur, simptom, tahap adenomyosis, dan tempoh mencuba untuk hamil.
  1. Kenapa doktor cadangkan frozen embryo transfer?
    Dalam sesetengah kes, FET membantu memberikan keadaan rahim yang lebih stabil sebelum pemindahan embrio dilakukan.
  2. Adakah adenomyosis boleh berulang?
    Adenomyosis ialah keadaan kronik dan boleh berubah mengikut hormon serta usia. Pemantauan berkala mungkin diperlukan.

 

Kesimpulan: Masih Ada Harapan

Adenomyosis adalah cabaran, BUKAN pengakhiran untuk impian memiliki zuriat. Walaupun kadar kejayaan IVF lebih rendah berbanding wanita tanpa adenomyosis, strategi yang tepat boleh meningkatkan peluang anda.

Dengan penilaian yang tepat dan pelan rawatan yang sesuai, ramai wanita masih berjaya mendapatkan kehamilan melalui IVF.

Jika anda mempunyai adenomyosis dan sedang mempertimbangkan rawatan kesuburan, berbincang awal dengan pakar boleh membantu anda memahami pilihan yang sesuai untuk keadaan anda.

Anda mempunyai adenomyosis dan sedang merancang IVF?
Buat konsultasi dengan pakar kesuburan kami di Alhaya Fertility Centre. Kami akan menilai keadaan anda dan mereka bentuk protokol rawatan yang diperibadikan untuk memberikan anda peluang kejayaan terbaik.