“Sakit haid saya memang normal ke?”
Ramai wanita menganggap sakit haid yang teruk sebagai perkara biasa. Ada yang terpaksa berehat di rumah setiap bulan, mengalami sakit ketika bersama, atau sudah lama mencuba hamil tetapi masih belum berjaya.
Namun dalam sesetengah kes, simptom ini mungkin berkaitan dengan endometriosis.
Endometriosis ialah salah satu masalah kesihatan wanita yang boleh menjejaskan kesuburan. Walau bagaimanapun, ramai wanita masih berjaya hamil dengan diagnosis dan rawatan yang sesuai.
Apa Itu Endometriosis?
Endometriosis berlaku apabila tisu yang menyerupai lapisan rahim (endometrium) tumbuh di luar rahim.
Ia boleh berlaku pada:
- Ovari
- Tiub fallopio
- Dinding pelvis
- Belakang rahim
- Pundi kencing atau usus (kes tertentu)
Tisu ini bertindak balas terhadap hormon haid seperti lapisan rahim biasa. Setiap bulan, ia boleh mengalami pendarahan dan keradangan, tetapi darah tersebut tidak dapat keluar daripada badan dengan normal.
Akibatnya, ia boleh menyebabkan:
- Keradangan kronik
- Pembentukan parut atau lekatan
- Sakit pelvis
- Gangguan kesuburan
Tanda-Tanda Endometriosis Yang Ramai Wanita Abaikan
Simptom endometriosis boleh berbeza bagi setiap individu. Ada wanita mengalami simptom yang teruk, manakala ada yang langsung tidak mempunyai gejala jelas.
Antara tanda yang sering berlaku termasuk:
1. Sakit Haid yang Tidak Normal (Dysmenorrhea)
- Sakit haid yang bertambah teruk setiap bulan
- Sakit yang tidak reda dengan ubat tahan sakit biasa
- Sakit sehingga mengganggu kerja atau aktiviti harian
2. Sakit Ketika atau Selepas Bersama (Dyspareunia)
Sesetengah wanita mengalami sakit yang dalam ketika hubungan intim atau beberapa jam selepas bersama.
3. Haid yang Sangat Berat (Menorrhagia) atau Tidak Teratur
- Perlu menukar pad terlalu kerap
- Haid berpanjangan
- Gumpalan darah yang besar
4. Sakit ketika Membuang Air Besar atau Kecil
- Terutamanya semasa haid
- Rasa sakit atau tekanan pada rektum atau pundi kencing
5. Keletihan Kronik
- Rasa letih yang melampau walaupun cukup rehat
- Sering dikaitkan dengan keradangan kronik dalam badan
6. Masalah Pencernaan
- Loya, cirit-birit, sembelit, atau kembung perut terutamanya semasa haid
7. Kesukaran untuk Hamil
- Endometriosis dijumpai pada 25-50% wanita yang sukar hamil
Penting: Sakit haid yang teruk BUKAN normal. Jika pengalaman haid anda berbeza dari rakan-rakan anda, berbincanglah dengan doktor.
Bagaimana Endometriosis Menjejaskan Kesuburan?
Endometriosis boleh menjejaskan peluang kehamilan melalui beberapa cara:
| Mekanisme | Penjelasan |
| Keradangan Kronik | Keradangan berterusan dalam pelvis boleh mewujudkan persekitaran yang kurang sesuai untuk persenyawaan dan perkembangan embrio. |
| Lekatan (Adhesions) | Tisu parut yang terbentuk boleh menyebabkan ovari, tiub fallopio, atau rahim melekat antara satu sama lain dan mengganggu fungsi reproduktif normal. |
| Endometrioma (Sista pada Ovari) | Sista endometriosis pada ovari boleh menjejaskan fungsi ovari dan mengurangkan rizab telur. |
| Gangguan Implantasi | Lapisan rahim mungkin menjadi kurang reseptif terhadap embrio akibat keradangan yang berpanjangan. |
| Gangguan Kualiti Telur | Keradangan dan tekanan oksidatif boleh menjejaskan kualiti telur dalam sesetengah pesakit. |
Tahap Endometriosis & Kesan pada Kesuburan:
| Tahap | Penerangan | Kesan pada Kesuburan |
| Tahap I (Ringan) | Lesi kecil dan cetek, tiada lekatan ketara | Kesan minimum. Masih boleh hamil secara semula jadi. |
| Tahap II (Sederhana) | Lesi lebih dalam, mungkin ada lekatan ringan | Kesan sederhana. IUI mungkin membantu. |
| Tahap III (Sederhana Berat) | Banyak lesi, endometrioma pada ovari, lekatan ketara | Kesan signifikan. IVF sering disyorkan. |
| Tahap IV (Teruk) | Lesi meluas, endometrioma besar, lekatan padat ('frozen pelvis') | Kesan sangat signifikan. IVF adalah pilihan utama. |
Diagnosis Endometriosis: Bagaimana Doktor Mengesannya?
Diagnosis endometriosis boleh mengambil masa bertahun-tahun kerana ramai wanita menganggap sakit haid adalah 'normal'. Berikut adalah langkah-langkah diagnosis:
Langkah 1: Pemeriksaan Fizikal dan konsultasi
Doktor akan bertanya tentang:
- Corak kesakitan haid anda
- Sejarah keluarga (endometriosis cenderung diwarisi)
- Pemeriksaan pelvis untuk merasa sebarang ketulan atau kelembutan
Langkah 2: Ultrasound Transvaginal
- Boleh mengesan: Endometrioma (sista coklat) pada ovari (ketepatan 80-90%)
- Tidak boleh mengesan: Lesi kecil atau lekatan cetek
Langkah 3: MRI Pelvis
- Lebih terperinci daripada ultrasound
- Berguna untuk merancang pembedahan
- Boleh mengesan adenomyosis yang sering berlaku bersama endometriosis
Langkah 4: Laparoskopi
- Prosedur pembedahan kurang invasif menggunakan kamera kecil yang dimasukkan melalui bukaan kecil pada perut.
- Antara kaedah yang boleh membantu mengesahkan endometriosis kerana doktor dapat melihat tisu endometriosis secara langsung.
- Dalam sesetengah kes, rawatan juga boleh dilakukan pada masa yang sama untuk membuang atau merawat tisu endometriosis yang terlibat.
- Kebanyakan pesakit boleh pulang pada hari yang sama atau keesokan harinya.
Mengapa Laparoskopi Penting?
- Ultrasound atau MRI mungkin tidak dapat mengesan tisu endometriosis yang kecil
- Laparoskopi merupakan antara kaedah paling tepat untuk membantu mengesahkan diagnosis endometriosis
- Dalam sesetengah kes, rawatan boleh dilakukan sekali semasa prosedur dijalankan untuk membuang atau merawat tisu endometriosis yang terlibat
Pilihan Rawatan Untuk Endometriosis
Rawatan bergantung kepada simptom, tahap endometriosis, usia, dan perancangan kehamilan pesakit.
Rawatan Untuk Mengawal Simptom
Sesetengah rawatan boleh membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan.
Namun, tidak semua rawatan sesuai untuk wanita yang sedang aktif mencuba hamil.
Pembedahan Laparoskopi
Dalam sesetengah kes, pembedahan minimum invasif mungkin diperlukan untuk membuang tisu endometriosis, cyst ovari, atau lekatan yang menjejaskan kesuburan.
Pembedahan boleh membantu meningkatkan peluang kehamilan bagi sesetengah pesakit.
Bila IVF Dipertimbangkan Untuk Endometriosis?
IVF mungkin disarankan jika:
- Endometriosis berada pada tahap sederhana atau teruk
- Tiub fallopio terjejas
- Rizab ovari semakin rendah
- Pernah menjalani pembedahan tetapi masih belum hamil
- Faktor usia mempengaruhi kesuburan
Pakar kesuburan akan menentukan pelan rawatan berdasarkan keadaan individu.
Bila Perlu Berjumpa Pakar Fertiliti?
Anda perlu mendapatkan nasihat pakar jika:
- Anda telah mencuba hamil selama 6-12 bulan (lebih awal jika usia >35 tahun atau ada gejala endometriosis)
- Anda mempunyai gejala endometriosis (sakit haid teruk, sakit hubungan) walaupun belum mencuba hamil
- Anda telah disahkan endometriosis dan ingin merancang kehamilan
- Anda pernah menjalani pembedahan endometriosis tetapi masih belum hamil selepas 6-12 bulan
Soalan Lazim (FAQ)
S. Adakah endometriosis menyebabkan susah hamil? ?
Ya. Endometriosis boleh menjejaskan kesuburan bergantung kepada tahap penyakit dan keadaan reproduktif individu.
S. Perlukah saya buat pembedahan sebelum IVF?
Bergantung. Ada wanita masih boleh hamil secara semula jadi atau dengan rawatan lain bergantung kepada tahap endometriosis.
S. Adakah endometriosis berbahaya untuk kehamilan?
Endometriosis meningkatkan risiko keguguran, kehamilan ektopik, dan kelahiran pramatang. Pengurusan rapi oleh pakar obstetrik adalah penting.
S. Bolehkah endometriosis menjejaskan kualiti telur saya?
Ya. Endometrioma pada ovari boleh merosakkan tisu ovari yang sihat dan meningkatkan tekanan oksidatif yang merosakkan DNA telur.
Kesimpulan: Masih Ada Harapan
Endometriosis adalah cabaran, BUKAN pengakhiran untuk impian memiliki zuriat. Dengan diagnosis yang tepat dan rawatan yang sesuai, ramai wanita dengan endometriosis berjaya hamil dan melahirkan bayi yang sihat.
Langkah pertama anda:
- Kenali gejala anda – jangan normalisasikan kesakitan yang teruk
- Dapatkan diagnosis – jangan takut untuk berbincang dengan doktor
- Rancang rawatan – sama ada pembedahan atau terus ke IVF bergantung pada tahap dan matlamat anda
Jangan biarkan endometriosis melambatkan impian anda. Tindakan awal memberi lebih banyak pilihan dan peluang kejayaan yang lebih tinggi.
Anda mengalami gejala endometriosis atau telah disahkan endometriosis?
Buat konsultasi dengan pakar kesuburan kami di Alhaya Fertility. Kami akan menilai keadaan anda dan mencadangkan pelan rawatan yang diperibadikan untuk membantu anda mencapai kehamilan.
